Kehilangan Pendengaran Berkaitan Usia

Apakah Itu Kehilangan Pendengaran?
Kehilangan pendengaran merujuk kepada ketidakmampuan untuk mendengar, sama ada secara separa atau sepenuhnya. Ia boleh berlaku secara tiba-tiba atau beransur-ansur. Masalah ini biasanya lebih kerap dialami oleh individu dewasa yang lebih tua. Hampir separuh daripada warga emas berusia 75 tahun ke atas mengalami kesukaran dalam pendengaran. Kehilangan pendengaran boleh menyukarkan komunikasi dengan rakan, keluarga, serta mempengaruhi kemampuan mereka menerima dan memberi respons terhadap persekitaran mereka. Secara umum, mereka mungkin bertindak balas lebih lambat terhadap bunyi atau memberikan jawapan yang kurang tepat apabila diajukan soalan jika menghadapi masalah pendengaran.
Kehilangan Pendengaran Berkaitan Usia
Kehilangan pendengaran pada orang dewasa boleh disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk usia, faktor genetik, pendedahan kepada bunyi bising, serta penyakit kronik seperti penyakit buah pinggang, jantung, dan diabetes. Kehilangan pendengaran yang berkaitan dengan usia, atau dikenali sebagai presbycusis, adalah sejenis kehilangan pendengaran yang berlaku secara perlahan seiring dengan pertambahan usia. Proses penuaan menyebabkan kemerosotan pada saraf pendengaran dan sel-sel rambut di dalam koklea. Kehilangan pendengaran ini biasanya berlaku secara perlahan dan progresif, serta mempengaruhi kedua-dua telinga pada masa yang sama. Oleh kerana ia berkembang secara beransur-ansur, anda mungkin tidak menyedari bahawa sedikit demi sedikit, keupayaan pendengaran anda semakin berkurang.
Salah satu cabaran utama adalah masalah ini berkembang secara perlahan dan beransur-ansur. Bagi ramai warga emas, mengakui bahawa mereka mengalami masalah pendengaran bukanlah sesuatu yang mudah. Sebagai pakar audiologi, kami sering mendengar bahawa pasangan atau ahli keluarga lebih awal menyedari kehilangan pendengaran tersebut, sebelum individu yang mengalaminya sendiri menyedarinya.
Mengapa Pendengaran Semakin Berkurang Apabila Semakin Berusia?
Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan kehilangan pendengaran seiring dengan pertambahan usia. Kadangkala, sukar untuk membezakan sama ada masalah pendengaran disebabkan oleh proses penuaan atau faktor lain, seperti pendedahan berpanjangan kepada bunyi bising. Namun, kedua-dua kehilangan pendengaran berkaitan usia dan yang berpunca daripada pendedahan bunyi mempunyai mekanisme yang serupa dalam bagaimana kehilangan pendengaran itu berlaku.
Proses penuaan boleh menyebabkan kemerosotan sel-sel rambut deria, manakala pendedahan kepada bunyi bising dalam jangka masa panjang boleh merosakkan sel-sel rambut deria di telinga yang bertanggungjawab untuk pendengaran. Setelah sel-sel rambut ini rosak, ia tidak akan tumbuh semula, menyebabkan pendengaran anda hilang secara perlahan.
Keadaan perubatan lain yang sering dialami seiring pertambahan usia, seperti jangkitan virus atau bakteria, masalah jantung, strok, kecederaan kepala, tumor, tekanan darah tinggi, penyakit kronik, dan penggunaan ubat-ubatan tertentu, juga boleh menyumbang kepada kehilangan pendengaran. Jarang bagi kehilangan pendengaran pada usia tua berpunca daripada masalah pada telinga luar atau tengah.
Alat Bantuan Pendengaran untuk Warga Emas
Alat bantuan pendengaran boleh menjadi penyelesaian yang berkesan untuk memulihkan keupayaan pendengaran anda. Alat ini mmerupakan peranti elektronik yang dipakai di dalam atau di belakang telinga, berfungsi untuk memperkuatkan bunyi dengan membesarkan getaran bunyi yang masuk. Sel-sel rambut yang masih berfungsi akan mengesan getaran tersebut dan menukarkannya kepada isyarat saraf yang dihantar ke otak.
Jika anda berumur lebih dari 60 tahun, amat disarankan untuk memeriksa pendengaran anda setiap tahun.
Untuk membuat temu janji, klik di sini atau hubungi 012-304 3921.
Lokasi Kami
SoundLife Hearing Kota Kemuning | SoundLife Hearing PJ, SS2 | SoundLife Hearing Setia Alam
Waktu Operasi: Isnin-Sabtu, 9.30 pagi hingga 5.30 petang.
2 thoughts on “Age Related Hearing Loss”
Comments are closed.

Would you normally conduct any workshop for how to use hearing aids?
hi Ms Mary, yes. We do have plan to do that. Will keep you posted. Thanks =)